SIDANG MEDIA OLEH
YBHG. DATO’ PROF DR. RUJHAN BIN MUSTAFA
KETUA PENGARAH JABATAN PENGAJIAN TINGGI
MENGENAI RAYUAN BERPUSAT MELALUI UPU
KEMASUKAN KE IPTA & POLITEKNIK PREMIER
LEPASAN SPM/SETARAF (PROGRAM ASASI & DIPLOMA)
SESI AKADEMIK 2012/2013
_____________________________________________
1. Sukacita dimaklumkan dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.
2. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengumumkan keputusan rasmi kemasukan pada 7 Mei 2012 (Isnin) lalu mulai jam 12.00 tengah hari. Semakan status keputusan boleh disemak melalui saluran hebahan seperti laman web, talian hotline dan helpline UPU serta SMS. Saluran hebahan adalah seperti di Lampiran 2.
3. KPT menasihatkan agar calon jaya menyemak dan mencetak surat tawaran rasmi melalui Laman Web Rasmi IPTA berkaitan atau Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi (JPP, KPT) bagi tawaran ke Politeknik Premier.
4. Calon juga wajib menyatakan pengesahan setuju terima tawaran. Pengesahan penerimaan tawaran dibuat pada atau sebelum 15 Mei 2012. e-RAYUAN BERPUSAT MELALUI UPU
5. Kejayaan calon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA/Politeknik Premier yang dipohon. Jika merit mereka
tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon.
Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA/Politeknik Premier yang popular mungkin akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.
6. KPT tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon gagal mendapat tempat ke IPTA/Politeknik Premier. Semua pengurusan berpusat adalah melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) dengan mengguna pakai dasar, kriteria pemilihan serta prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian.
7. Hanya calon gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA/Politeknik Premier sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan.
8. Permohonan rayuan boleh dikemukakan melalui Laman Web Rasmi Kemasukan Ke IPTA/Politeknik Premier di http://upu.mohe.gov.my.
9. Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 18 Mei 2012. Dasar pemilihan kes rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA/Politeknik Premier selepas pendaftaran pelajar baharu.
10. Keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua Jun 2012. Jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA/Politeknik Premier dalam tempoh 4 minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu di IPTA/Politeknik Premier, maka rayuan tersebut dianggap gagal. Keputusan rayuan adalah muktamad.
PELUANG PENGAJIAN TINGGI
11. KPT bersetuju melaksanakan dasar tawaran terbuka dengan pelbagai institusi dan agensi penaja yang menawarkan program bagi Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf. Justeru, ramai calon cemerlang SPM 2011 akan menerima lebih dari satu tawaran. Pemohon yang berjaya perlu membuat keputusan yang bijak dan tepat serta mendaftar untuk mengikuti program yang dipilih mengikut jadual dan tarikh yang ditetapkan.
12. Sementara itu, bagi pemohon yang tidak berjaya ke IPTA/Politeknik Premier tetapi ditawarkan ke institusi lain seperti Penaja, Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (BMKPM), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Tingkatan Enam adalah dinasihatkan agar mendaftar ke program berkenaan kerana tawaran tempat ke IPTA/Politeknik Premier adalah terhad.
13. Pemohon yang tidak berjaya juga akan berpeluang mengikuti program pengajian peringkat Sijil, Sijil Lanjutan, Diploma dan Diploma Lanjutan di Politeknik, Kolej Komuniti serta Institusi Latihan Kemahiran Awam(ILKA) melalui Pusat Pengambilan Setempat di bawah UPU.
14. Selaras dengan perkembangan industri pengajian tinggi negara dan kualiti pengajaran & pembelajaran di IPTS, calon juga berpeluang mengikuti program pengajian peringkat persediaan atau diploma yang berprospek tinggi di IPTS yang berkredibiliti. Calon boleh menyemak status IPTS melalui Portal KPT dan Portal JPT untuk mengetahui mengenai program pengajian, yuran pengajian dan sebagainya.
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
No comments:
Post a Comment