Sunday 8 July 2012

INSTEDT, PILIHAN SAMBUNG BELAJAR

Petikan  : Utusan Malaysia
Oleh      : SITI AINIZA KAMSARI
Gambar  : HAFIZ KHOSMAT

DUNIA dirasakan seolah-olah kiamat apabila mendapati keputusan slip peperiksaan tidak memungkinkan dirinya layak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Perasaan sedemikian adalah normal bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapati keputusan peperiksaan kurang memuaskan yang meleburkan impian mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Tetapi tahukah anda impian murni itu sebenarnya masih boleh direalisasikan. Malah anda
masih boleh menjejakkan kaki ke universiti.

Cuma syaratnya kali ini, anda tidak boleh menoleh ke belakang!

Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (Instedt) yang ditubuhkan pada tahun 1996 di

Bandar Penawar, Johor adalah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) tunggal yang bertanggungjawab merealisasikan impian murni mereka yang mahu membuktikan keputusan SPM yang kurang memuaskan bukan penghalang melanjutkan pelajaran.

Malah kelak mereka mampu beroleh ijazah sarjana muda, sarjana malah sehingga ke peringkat doktor falsafah.

Ini bukan soal menjual 'jaminan' tetapi sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Instedt, Prof. Madya Dr. Mat Jizat Abdol, bahawa di Instedt pelajar adalah segala-galanya.

Pelajar sentiasa didahulukan yang tidak sahaja mengubati kekecewaan, menaikkan semula tahap kendiri, membakar semangat tetapi juga menyediakan para pelajar supaya mempunyai daya saing yang tinggi termasuk juga apabila memasuki pasaran kerja kelak.

Mungkin apa yang ditekankan oleh Dr. Mat Jizat ini tidak ada bezanya sebagaimana yang ditawarkan oleh kebanyakan IPTS lain.

Namun ada kelainannya apabila di Instedt. IPTS ini adalah pilihan terbaik untuk apa juga aspek, sama ada daripada program-program pengajian, orientasi pembelajaran dan pengajaran, kemudahan kampus dan kolej kediaman.

Jika ditawarkan di Instedt, sejurus menjejakkan kaki di situ maka anda tahu pilihan anda adalah tepat.

Ia menjanjikan suasana pembelajaran yang sangat kondusif kepada para pelajarnya apabila suasana kampusnya tidak sahaja jauh daripada hiruk pikuk kota, menjanjikan ketenangan untuk belajar kerana Instedt bersifat 'kampus hijau'.

Kedudukannya berhampiran pusat peranginan terkenal iaitu Desaru juga adalah bonus kepada warga atau penghuni IPTS itu.

Suasana penuh kehijauan dan dikekalkan pelbagai unsur alam semula jadi menjadikan ia satu-satunya IPTS di negara ini yang berlatarkan suasana kampus yang sebenar.

Menurut Dr. Mat Jizat, Instedt amat menghargai impian murni pelajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi walaupun keputusan yang tidak memuaskan di peringkat SPM atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Namun mereka masih boleh mencipta kejayaan yang cemerlang di sini. Kejayaan yang bakal diiktiraf oleh pelbagai pihak sama ada pasaran kerja sehinggalah melanjutkan pelajaran di mana-mana IPTA terkemuka tempatan dan luar negara," katanya.

Suasana dan pendekatan pembelajaran yang secara holistik menjadi penekanan di Instedt. Struktur penilaiannya berteraskan kerja-kerja kursus (minimum 50 peratus) dan peperiksaan akhir tidak lebih 50 peratus.

Kecuali pada program-program kursus dengan kerjasama UiTM, memerlukan pelajar memenuhi penilaian iaitu 70 peratus untuk tugasan, kuiz dan penilaian berterusan dan 30 peratus lagi merupakan peperiksaan akhir.

"Ini bukan satu jaminan yang pasti tetapi para pelajar Instedt tidak akan gagal malah diberi peluang sepenuhnya untuk mencapai sehingga ke tahap Sijil Dekan setiap semester.

"Ini apabila setiap pelajar akan mendapat perhatian pensyarah secara agak khusus iaitu dengan nisbah satu pensyarah bagi setiap 20 pelajar," kata Dr. Mat Jizat.

Dr. Mat Jizat bukan nama baru dalam dunia pendidikan negara. Berkecimpung hampir 45 tahun dalam dunia itu memberi bayangan betapa besarnya sumbangan beliau selama ini dalam melahirkan ramai anak murid dan pelajar dalam pelbagai bidang.

Justeru segala pengalaman itu kini dicurahkan dan dikongsi bersama apabila menerajui Instedt.

Dr. Mat Jizat berkata, pelajar yang mengikuti Diploma in Nursing misalnya telah didedahkan dengan pengalaman yang menarik apabila mereka sama-sama terlibat dalam 'Program Bersamamu' anjuran TV3.

Mereka juga didedahkan dengan mengikuti program khidmat masyarakat yang melibatkan klinik-klinik kerajaan di kampung-kampung dan menimba pengalaman di hospital-hospital daerah serta hospital yang dilengkapi pelbagai peralatan rawatan dan kesihatan yang berteknologi tinggi.

"Malah mereka juga turut didedahkan kepada pelbagai kaedah rawatan termasuk homeopati dan sebagainya," kata Dr. Mat Jizat.

Instedt yang kini dalam usaha mencapai taraf Universiti Kolej adalah terbuka kepada pengambilan pelajar dari seluruh negara.

"Lebih banyak pembangunan fizikal akan dibina bagi menjadikan Instedt lengkap dengan segala macam keperluan prasarana para pelajar dan pensyarah kampus yang pada akhirnya menyaksikan ia menjadi kampus pilihan utama sebelah selatan," jelasnya.

Sejajar dengan keperluan semasa dan pelbagai prospek cerah di masa hadapan, Instedt telah / akan membangunkan beberapa program di peringkat diploma yang cukup popular antaranya :

Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Senireka Grafik dan Media Digital)

Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Senireka Fesyen)

Diploma Komunikasi dan Media

Diploma Pengurusan Pelancongan

Diploma Pengajian Islam Kontemporari

Namun program-program yang sedia ada, iaitu Diploma Kejururawatan, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat-UiTM, Diploma Pengajian Sukan-UiTM, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Perakaunan dan Diploma Teknologi Maklumat mempunyai daya tarikan tersendiri.

Instedt mengalu-alukan semua lepasan SPM dan STPM melanjutkan pelajaran di IPTS itu yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan pengajian dengan yuran pendaftaran yang sangat berpatutan.

"Soal keuntungan kewangan bukan matlamat utama Instedt kerana kami juga mempunyai pelbagai tanggungjawab dalam meningkatkan mutu pendidikan di peringkat tertinggi walaupun atas nama swasta.

"Ini kerana pengalaman luas dalam pendidikan di samping pengiktirafan pelbagai pihak terutamanya daripada pihak kerajaan menjadikan Instedt rakan kongsi terbaik negara dalam pendidikan," kata Dr. Mat Jizat.

Maklumat lanjut sila layari laman web Instedt di alamat http://www.instedt.edu.my atau menghubungi talian 07-8222008.

ARKIB UTUSAN MALAYSIA, 2 JUN 2010

No comments:

Post a Comment