Sunday, 8 July 2012

PTPTN PENYELAMAT KE 'U'

Assalamualaikum dan salam sejahtera, MUNGKIN kamu sudah bosan mendengar cerita mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kan?

Lagi-lagi apabila mendengar tentang caj perkhidmatan tiga peratus (satu peratus kepada yang telah buat ujrah) yang dikenakan kepada peminjam yang sedang hangat dipolitikkan pihak tertentu pada masa ini.

Ya, saya pun sependapat dengan kamu semua terutama apabila melihat penyata PTPTN
seakan-akan tidak banyak kurangnya walaupun pembayaran tetap telah dibuat.

Tapi, Alhamdullilah... Saya tidak pernah lupa untuk membayar hutang tersebut walaupun
adakalanya, terpaksa mengurangkan jumlah bayarannya.

Bukan maksudnya saya bersetuju PTPTN menjadi lintah darat, namun, sebagai peminjam saya masih mengingati perjanjian yang ditandatangani kira-kira tujuh tahun lalu.

Masih terbayang-bayang kegembiraan emak dan abah ketika cek berjumlah RM1,500 dari PTPTN sampai ke peti surat kami selepas sahaja menerima tawaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Maklumlah, sudah beberapa hari mereka memikirkan dari mana nak mencari wang untuk membayar yuran kemasukan ke UPM.

Ketibaan cek itu, bagaikan 'durian runtuh' kepada kami yang datang daripada keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah.

Malah, saya masih mengingati bagaimana sedihnya saya ketika menghubungi emak ketika
memaklumkan bahawa saya sudah menandatangani perjanjian dengan PTPTN.

Kenapa nak sedih? Mungkin kamu akan tertanya-tanya, bukan?

Saya sedih sebab ketika itu saya sudah terbayang-bayang hutang yang terpaksa ditanggung untuk tempoh 10 tahun (itu pun kalau bayar tepat pada masa yang ditetapkan).

Emak kata, "Nak buat macam mana kita ni, bukan orang senang terpaksalah berhutang... Sebab itu, kena belajar pandai-pandai."

Jadi, terpaksa saya mengakui PTPTN lah yang membantu orang susah seperti diriku ini menyambung pengajian ke menara gading.

Nak tak nak, memang kena bayar balik pinjaman yang telah dipersetujui sebelum ini untuk kesenangan orang lain juga.

Orang lain itu, bukanlah PTPTN tetapi anak-anak orang susah yang nak sambung belajar di peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan.

Tentang upah tiga peratus itu, saya halalkan juga. Sebab, yang bekerja menguruskan PTPTN itu juga manusia yang perlu diberi gaji untuk meneruskan kehidupan.

Bagi mahasiswa yang rasa-rasa tak nak menjelaskan pinjaman yang dibuat, senang sahaja.

Silalah belajar pandai-pandai serta dapatkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama, selesai masalah. Pinjaman PTPTN boleh dilupuskan begitu sahaja jika kamu memiliki pencapaian cemerlang.

Maknanya, pilihan sememangnya berada di tangan kita. Betul tak?

CERMIN DIRI,

Taman Melati, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment